Monday, March 15, 2010

MENGAPA ALLAH DAHULUKAN CINTA???

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan cinta(mawaddah) dan belas kasihan(rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Ar-Rum:21)

Pergi ke mana sahaja forum atau ceramah yang berkisarkan dengan cinta,tidak kisahlah cinta manusia ataupun cinta monyet, penceramah pasti menggunakan ayat di atas bagi mengupas isu cinta kerana pada ayat ini Allah secara berterus-terang menyatakan manusia diciptakan untuk saling mencintai malah ayat ini menekankan bahawa perasaan cinta itu harus ada untuk dua jantina yang berbeza, lelaki dan perempuan, suami dan isteri.Maka,tidak hairanlah jika ayat ini dipilih oleh penceramah untuk menerangkan tentang cinta. Ayat yang sama saya dengari pada khutbah minggu lepas yang berkisarkan tentang perkahwinan. Khatib menjelaskan bahawa masalah atau kanser yang berlaku dalam masyarakat kita berpunca daripada institusi keluarga dan masalah dalam institusi keluarga ini bermula di saat perkahwinan lagi.

Berapa ramai yang hidup mewah tapi tidak bahagia kerana isteri dan berapa ramai yang hidup bahagia tetapi tidak mewah,juga kerana isteri. Isteri mesti memainkan peranan dalam menjaga kebahagian rumah tangga dan begitu juga suami.Dan masalah pada hari ini juga berlaku dek kerana ibu bapa menyekat anak-anak daripada berkahwin awal,atas alasan mereka belum bersedia dan tidak mampu menanggung anak orang.Jadi,mereka yang dikatakan tidak bersedia itu tanpa segan silu mencari pasangan yang juga kurang bersedia untuk melepaskan nafsu mereka. Ana terus angguk dan mengangguk,bersetuju dengan apa yang dibicarakan oleh khatib. Tiba-tiba,apabila khatib membaca ayat di atas dan menekankan perkataan mawaddah dan rahmah itu,ana tersentak dan tersedar akan satu kebesaran Allah dalam penciptaan manusia. Seperti ana selalu tulis,ayat quran tidak diturunkan secara rawak.Jika Allah sebut baik dulu baru sempurna,maka ada sebabnya. Jika Allah sebut perempuan dahulu baru lelaki,juga ada sebabnya.Allah tidak pernah mengeluarkan apa-apa fakta yang tidak mengikut susunan.Allah susun ayat Nya satu demi satu,dari setitis air mani,Allah susun kepada embrio,fetus dan manusia.Lihatlah betapa agungnya Al-Quran dan hal ini menjelaskan kepada kita bahawa bukan Muhammad yang menulis semua ini.Namun, jangan sesekali kita menafikan kebijaksanaan dan mukjizat Rasulullah.

Persoalannya di sini,mengapa Allah sebut cinta dahulu baru kasih sayang?Kenapa Mawaddah dahulu baru Rahmah? Jika ikut kepada akal yang waras,mestilah berkasih sayang dahulu barulah cinta itu lahir tapi mengapa Allah sebut cinta dahulu barulah berkasih sayang?Pelik tapi ada logiknya. Semua ini sebenarnya menepati fitrah kehidupan manusia.Kitaran hidup manusia bermula daripada bayi kepada kanak-kanak kepada remaja kepada dewasa kepada orang tua.Dan kebiasaan manusia berkahwin pada umur 15(baligh)-40(sebelum monopause) iaitu ketika kitaran remaja dan dewasa.Memang ada kanak-kanak yang kahwin seperti Saidatina Aishah dan memang benar ada juga orang tua yang kahwin tetapi bilangan golongan sebegini tersangatlah sedikit.Maka,boleh diabaikan.

Kenapa manusia berkahwin waktu remaja dan dewasa? Kerana waktu itulah perasaan cinta sesama manusia tersangatlah kuat. Kenapa anda bercinta? Sebab matanya yang cantik macam Heliza. Sebab suaranya merdu macam Siti Nurhaliza. Sebab wajahnya lawa seperti Lisa Surihani. Sebab kebijaksanaannya seperti Sofea Yusof. Sebab perangainya baik seperti Aisha dalam Ayat-Ayat Cinta. Jadi,bilakah semua sebab-sebab ini tertonjol dalam kitaran hidup manusia? Waktu kanak-kanak mereka? Waktu tua mereka? TIDAK,tetapi dalam waktu remaja dan dewasa.

Sebab Allah sebut cinta dahulu kerana Allah menyuruh kita betul-betul bercinta dengan pasangan kita pada waktu remaja dan dewasa supaya lahirnya perasan kasih dan sayang di dalam diri masing-masing kerana ketika waktu tua,semua sebab-sebab kita mencintainya sudahpun hilang,pudar dek usia yang memakannya. Dia yang mukanya lawa sudahpun berkedut… Dia yang suaranya merdu sudahpun sumbang… Dia yang perangainya baik sudahpun terlantar tidak mampu berkata apa-apa lagi.. Waktu inilah hasil cinta di waktu remaja dan dewasa tadi perlu digunakan.Jika tiada cinta,perasaan kasih dan sayang sukar diwujudkan.

Benar,perasaan kasih mungkin ada,kasihan melihat dia yang tiada tempat pergantungan, kasihan melihat dia yang terbaring tidak bergerak,kasihan melihat dia yang terberak di dalam seluar tetapi sejauh mana kasihan ini akan pergi jika tiada sayang? Mulut hanya mampu berkata kasihan tetapi tiada sebarang tindakan akan diambil kerana tiada sayang. Kenapa tiada sayang? Kerana tiada cinta.

No comments:

Post a Comment